SAKIT JANTUNGThis is a featured page

Kesihatan Mingguan Malaysia 10 Jun 2007

Tanda amaran serangan jantung


Oleh: DATUK DR. KHOO KAH LIN

JIKA anda telah mengikuti siri berkenaan tentang penjagaan jantung dan diabetes ini, maka anda sudah ten Dalam perbualan bersama rakan-rakan anda, pernyataan “Penyakit jantung merupakan pembunuh nombor satu di Malaysia” selalunya akan diikuti dengan “Diabetes merupakan faktor risiko utama bagi penyakit jantung.”

Dan, kini setelah anda berjaya menarik perhatian mereka, anda boleh menutup perbincangan dengan, “Tetapi tahukah anda bahawa anda tidak perlu menghidap diabetes untuk menjadi mangsa kepada serangan jantung atau strok?”

Pernyataan-pernyataan ini adalah benar dan di dalam bahagian terakhir daripada enam bahagian bersiri ini, kita akan mengkaji ketiga-tiganya dengan lebih mendalam lagi.

Apakah itu penyakit jantung? Bagaimana untuk mengekalkan jantung yang sihat tidak kira sama ada kita menghidap diabetes ataupun tidak? Bagaimanakah caranya untuk kita mengetahui sama ada jantung kita bermasalah?

Penyakit jantung

Penyakit jantung merupakan satu keadaan yang menjejaskan otot-otot jantung (miokardium) dan saluran-saluran darah dalam jantung (arteri koronari). Punca penyakit jantung yang paling lazim adalah penyempitan arteri koronari iaitu satu proses yang dikenali sebagai aterosklerosis.

Aterosklerosis bermula apabila lapisan bahagian dalam arteri koronari telah rosak atau cedera akibat bermacam- macam faktor termasuk merokok, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan sesetengah penyakit seperti diabetes.

Kolesterol dan bahan-bahan lain akan berkumpul dalam dinding arteri untuk membentuk plak. Semakin lama, semakin banyak plak yang akan terbentuk. Akhirnya, plak ini akan menyempitkan ruang dalam arteri, menghalang bekalan darah serta mungkin akan pecah untuk membentuk darah beku.

Jika darah beku menghalang pengaliran darah ke jantung anda, maka anda akan mendapat serangan jantung; jika ia menghalang pengaliran darah ke otak anda, maka anda akan mendapat strok.

Kehadiran plak sahaja, walaupun jika ia tidak pecah, masih boleh membahayakan. Plak akan menyempitkan saluran darah dengan teruk hingga anda akan mempunyai simptom-simptom penyakit koronari jantung (CAD) seperti angina (sakit dada).

Jika tidak dirawat dengan betul, anda mungkin akan mendapat serangan jantung atau kegagalan jantung kongestif (kegagalan jantung).

Adakah ini akan berlaku kepada saya?

Risiko untuk anda menghidap penyakit jantung adalah tinggi terutama sekali jika anda mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit jantung atau anda sudah berusia lanjut.

Jantina turut merupakan faktor: lazimnya, kaum lelaki akan berisiko tinggi untuk menghidap penyakit jantung manakala risiko bagi wanita pula akan meningkat tinggi selepas menopaus. Malangnya, anda tidak boleh mengubah faktor-faktor risiko ini.

Di sini terdapat beberapa faktor risiko yang masih boleh anda ubah: merokok, gaya hidup tidak aktif (sedentari), tabiat makan yang tidak sihat, tekanan dan berat badan yang berlebihan atau obes.

Kesemua faktor ini akan mengkucar-kacirkan glukosa darah, tekanan darah serta kolesterol darah anda di mana ia akan meningkatkan risiko anda untuk mendapat penyakit jantung.

Seperti yang telah disebutkan tadi, diabetes merupakan faktor risiko yang utama. Mereka yang menghidap diabetes adalah dua hingga empat kali lebih cenderung untuk mendapat penyakit jantung ataupun strok, berbanding mereka yang tidak menghidap diabetes.

Dua daripada tiga orang yang menghidap diabetes akan meninggal dunia akibat penyakit jantung atau strok dan mereka mempunyai kemungkinan yang lebih untuk meninggal dunia akibat serangan jantung berbanding mereka yang tidak menghidap diabetes.

Jika anda mempunyai sebarang daripada faktor-faktor risiko ini, maka anda dinasihatkan agar segera mendapatkan nasihat doktor. Anda perlu sedar bahawa masalah jantung memerlukan perhatian perubatan yang segera.

Jangan tunggu sehingga berlakunya serangan jantung atau strok. Pengesanan serta rawatan awal akan dapat menyelamatkan nyawa anda.

*Tanda-tanda serangan jantung

Tidak semua serangan jantung akan berlaku secara mengejut dan sangat menyakitkan.

Sesetengahnya bermula dengan sangat perlahan serta kurang menyakitkan atau hanya rasa kurang selesa hingga ramai yang tidak sedar bahawa mereka
sedang mengalaminya dan ini menyebabkan mereka gagal untuk mendapatkan bantuan perubatan dengan segera.

Majoriti akan mengalami simptom- simptom. Berikut adalah simptom-simptom yang menandakan anda sedang mengalami serangan jantung:

* Tekanan yang tidak selesa, rasa sesak, penuh atau sakit di bahagian dada yang berlanjutan selama lebih daripada beberapa minit, atau sakit yang hilang dan datang semula.

* Sakit atau ketidakselesaan pada bahagian- bahagian lain di bahagian atas badan.

* Pendek nafas dengan atau tanpa rasa ketidakselesaan pada bahagian dada.

* Berpeluh sejuk, rasa loya atau pitam.

*Gejala dan tanda amaran serangan jantung

Satu daripada tanda amaran adalah Serangan Iskemia Sementara (TIA) - iaitu satu gangguan sementara bekalan darah ke bahagian tertentu otak.

TIA adalah serupa seperti strok tetapi ia hanya berlaku untuk jangka masa yang lebih pendek sebelum terus hilang dengan tidak meninggalkan sebarang kesan kekal yang ketara.

TIA menandakan satu serangan strok yang betul mungkin akan berlaku tidak lama lagi. Jika anda mempunyai satu atau lebih daripada simptom-simptom berikut, maka anda perlu segera mendapatkan bantuan perubatan:

* Rasa kebas atau lemah secara tiba-tiba pada sebelah bahagian badan
* Kesukaran untuk bertutur atau memahami pertuturan, gagap
* Penglihatan menjadi kabur secara tiba-tiba
* Kesukaran untuk berjalan, rasa pening, hilang keseimbangan atau koordinasi secara tiba-tiba
* Sakit kepala yang teruk secara tiba-tiba tanpa sebarang sebab
* Masalah ingatan atau kekeliruan

*Tujuh tip jantung sihat

1- Apakah sejarah keluarga anda?

Ketahui sejarah perubatan keluarga anda dan beritahu doktor anda tentang sebarang risiko-risiko keturunan.

Jika salah seorang daripada datuk nenek, ibu bapa atau adik-beradik anda pernah mengalami penyakit jantung sebelum berusia 55 tahun, maka anda turut cenderung untuk turut mendapatnya.

Mengetahui maklumat sedemikian akan membantu anda mengambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk mencegahnya daripada berlaku.

2- Di meja makan

Makan diet yang seimbang yang terdiri daripada buah- buahan, sayur- sayuran, bijirin penuh dan makanan tenusu rendah lemak. Amalkan masa makan yang tetap pada setiap hari dan elakkan dari terlebih makan.

Kesemua lemak mempunyai kalori yang tinggi dan akan meletakkan anda berisiko untuk mendapat kolesterol darah tinggi, jadi anda perlu mengehadkan pengambilannya. Jika anda mesti mengambil lemak, maka pilihlah lemak-lemak tidak tepu. Elakkan makanan yang mengandungi lemak tepu, asid lemak trans dan kolesterol.

3- Serat larut: senjata rahsia anda

Serat larut (terutama sekali beta-glukan) adalah karbohidrat kompleks yang sangat bermanfaat terutama sekali untuk kesihatan jantung. Ia telah terbukti secara klinikal akan menurunkan kolesterol darah dengan menggabungkan asid-asid hempedu (yang mengandungi kolesterol) di dalam saluran pencernaan anda.

Mereka kemudiannya akan dikeluarkan bersama bahan buangan badan anda dan ini bermakna kolesterol akan diserap dengan lebih sedikit ke dalam aliran darah anda. Ini akan membawa kepada paras kolesterol darah yang lebih rendah serta mengurangkan risiko penyakit jantung.

Oleh kerana serat larut (seperti beta-glukan) merupakan makanan rendah GI (Indeks Glisemik), maka ia juga berkesan untuk menstabilkan paras glukosa darah anda.

Ini dilakukan dengan memperlahankan pencernaan serta penyerapan agar glukosa (gula) akan mengambil masa yang lebih lama untuk memasuki aliran darah anda.

Ini akan mengelakkan paras glukosa darah naik secara mendadak.
Oleh yang demikian, memasukkan lebih banyak serat larut serta makanan karbohidrat rendah GI ke dalam makanan seharian anda adalah suatu langkah yang bijak. Sesetengah contoh makanan rendah GI termasuklah barli, beras perang, muesli dan roti rendah GI yang telah dirumus khas.

4- Mengawal tekanan darah

Tahukah anda bahawa hanya enam daripada setiap 100 rakyat Malaysia dapat mengawal tekanan darah mereka? Jangan biarkan diri anda menjadi salah seorang daripada 94 orang tersebut!

Periksa tekanan darah anda sekurang- kurangnya dua kali setahun dan pastikan anda mengekalkannya pada paras yang rendah (130/80 mmHg atau lebih rendah) tanpa mengira usia anda.

5- Awasi berat badan anda

Lakukan senaman selama sekurang- kurangnya 45 minit pada kebanyakan hari dalam seminggu (atau lebih baik lagi, lakukannya pada setiap hari).

Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai berat badan yang berlebihan atau obes, maka anda perlu lebih kerap melakukan senaman (dan dalam tempoh yang lebih lama) untuk menurunkan berat badan yang berlebihan.

Secara amnya, anda perlu mengekalkan Indeks Jisim Tubuh (BMI) pada lebih kurang 18-23 kg/m2. Bagi orang Asia, ukur lilit pinggang yang kurang dari 90sm bagi lelaki dan kurang dari 80sm bagi wanita adalah ideal.

6- Berhenti merokok

Tembakau dalam rokok akan mengakibatkan saluran darah anda menjadi sempit serta mengurangkan bekalan darah ke jantung dan organ-organ penting anda yang lain. Jadi, hentikannya sekarang demi kebaikan jantung anda.

7- Jangan lupa berjumpa doktor!

Dan akhir sekali, jangan terlepas daripada menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan anda. Pemeriksaan yang kerap akan dapat mengesan serta merawat kes-kes awal penyakit jantung dan diabetes.

- Dr. Khoo Kah Lin merupakan Perunding Kardiologi, Yayasan Jantung Malaysia.
Artikel ini sumbangan oleh Program Menangani Wabak Diabetes (FAD) Penjagaan Jantung yang dianjurkan oleh Institut Diabetes Negara (NADI). Program ini juga disokong dengan geran pendidikan tanpa syarat daripada Roti Gardenia Breakthru. Untuk pertanyaan, sila hubungi NADI di talian 03-78761676/78761677.


jokise
jokise
Latest page update: made by jokise , Jun 24 2007, 7:57 AM EDT (about this update About This Update jokise By Jokiden - jokise

1367 words added

view changes

- complete history)
More Info: links to this page
There are no threads for this page.  Be the first to start a new thread.